Monday 3 June 2013

Karangan saya untuk Olevels Bahasa Melayu

Assalamu'alaikum

Alhamdulillah, Peperiksaan Peringkat O Bahasa Melayu telahpun berjalan dengan lancar. Tidaklah terlalu mudah malah tidak juga terlalu sukar untuk saya menjawabnya dengan tenang. Post saya hari ini adalah untuk berkongsi jawapan yang telahpun saya tuliskan untuk Kertas 1 Bahagian B. Soalannya ialah,

3) Kamu telah memberikan bantuan kepada seseorang di sebuah tempat awam. Namun, satu peristiwa yang tidak diduga berlaku. Ceritakan peristiwa itu dan pengajaran-pengajaran yang kamu peroleh dari pada peristiwa tersebut.

Jawapan saya (lebih kurang):

Suasana pada pagi itu sungguh menenteramkan hati dan jiwa. Menghirup udara yang segar sangat diingini oleh setiap makhluk di alam ini. Angin yang sepoi-sepoi bahasa menambahkan lagi ketenangan di situ. Keadaan itu yang tenang diibaratkan seperti perasaan aku ketika itu. Ditambahkan lagi dengan burung-burung berkicauan seperti menyanyikan lagu yang sungguh mengasyikkan. Daunan yang bertaburan menghiasi tempat itu. Aku berjalan sambil melihat ciptaan Tuhan.

Sedang mataku melilau ke sekitaran, pandangan mataku terhenti. Seorang lelaki berkaca mata hitam  bertongkat sedang ingin melintasi jalan raya yang penuh dengan kenderaan beroda empat menarik perhatianku. Aku cuba memerhati kesekeliling namun tiada sebatang tubuh yang berhati nurani ingin membantu. Orang buta. Bukankah itu suatu tindakan yang berbahaya? Aku mengeluh lalu mengatur langkah menuju ke arah orang itu.

"Encik, mari saya bantu. Ini sangat berbahaya. Dengan adanya saya, sekurang-kurangnya dapat saya menjamin keselamatan encik."

"oh! Terima kasih adik. Kalau begitu, bolehkah adik tolong saya sampai ke alamat yang ada di kertas ini?"

Aku menegur lelaki itu dengan niat ingin membantu. Setelah mendengar pertanyaannya, aku mengerutkan dahi sambil memerhati ke arah kertas yang dihulurkan olehnya, cuba untuk memahami permintaan lelaki itu. Dalam hati, perasaan simpati membuak-buak. Kasihan. aku tidak dapat membayangkan diriku diduga dengan dugaan sebegitu. Pasti sukar untuk aku pergi ke tempat yang ingin dituju. Dengan pandangan yang gelap, sukarnya untuk mengenali orang dan melihat keindahan ciptaan Tuhan. Dalam diam, aku memandang seraut wajah dihadapanku.

Aku memaut lengan lelaki itu yang berlapiskan dengan baju kemeja tangan panjang berwarna biru. Lalu kami berjalan seiringan sambil tangan kiriku melambai ke arah kereta yang sedang menuju ke arah kami, menandakan bahawa kami ingin melintasi jalan raya itu. Sepanjang perjalanan, tiada sebarang katapun yang terluah. Namun, dapatku lihat senyuman yang terukir di bibir lelaki di sebelahku itu. Tidak dapatku tafsirkan maksud disebalik senyuman itu. Mungkin dia berasa senang hati kerana ada yang ingin membantu. Aku cuba berfikiran positif dan cuba menyedapkan hati sendiri.

Dari suasana yang sibuk menjadi suram. Aku memerhati sekeliling cuba mencari sebatang tubuh yang ingin melintasi jalan itu, namun, tiada. Sampah sarap bertaburan menambahkan lagi rasa khuatir di dalam diri. Tidak semena-mena mataku menangkap sekumpulan lelaki berbaju hitam menghampiri tersenyum puas diikuti dengan gelak ketawa yang sangat menggerunkan. Tangan aku yang melingkari lengan si lelaki buta digenggam kuat olehnya lalu tubuhku ditolak jatuh ke bumi. Tanpa mereka sedari jari jemariku laju menekan tiga angka nombor yang mungkin dapat membantu aku.

"Mana duit? Aku nak duit! Bagi aku duit kalau tidak aku cekik kau!" Pekik seorang daripada samseng itu sambil tangannya mencengkam leherku dalam keadaan menyinga.

Belum sempat aku membalas, seorang lagi daripada mereka merampas beg yang aku sandang dibelakang lalu mengeluarkan kesemua isinya seperti haiwan yang kebuluran. Kemudian dia terhenti lalu tersenyum gembira sambil tangannya mengeluarkan dompet berwarna kelabu dan menggoncang-goncangnya. Aku menangis kesal atas kekhilafan diri kerana terlalu mempercayai orang yang tidak dikenali. Dalam hati aku memarahi diriku yang terlalu cuai.

"Hei! Apa yang kamu semua buat? Jangan ganggu budak itu!"

Serentak kami semua menoleh kearah suara yang kedengaran. Kelihatan seorang lelaki berkemeja berkolar biru cerah sedang cuba menghampiri. Tetapi kumpulan samseng itu tidak gentar dengan amaran itu malah bertambah galak mereka ketawa terbahak-bahak.

"Polis! Letakkan senjata di bawah! Awak semua sudah dikepung!"

Aku menghembuskan nafas kelegaan. Kumpulan samseng itu, lelaki berkemeja dan aku menoleh ke arah seorang pegawai yang bersuara lantang. Lalu, lelaki berkemeja menghampiri aku cuba untuk membantu aku bangkit. Sejujurnya, aku berasa sangat sakit dibahagian punggung dan dua tapak tangan kerana aku jatuh terjelopok di tolak oleh lelaki berkaca mata hitam yang menyamar menjadi orang buta.

"Saudari tidak apa-apa? Mari saya tolong hantarkan ke klinik."

Aku mengangguk tanda setuju. Aku selamat! Aku memekik kegembiraan dalam hati. Tidak putus-putus juga aku mengucapkan syukur. Sejak dari peristiwa itu, aku tidak akan berani lagi keluar bersendirian. Jikalau aku teringin keluar menghirup udara yang segar, akan aku ajak rakan-rakan atau keluarga ikut bersama. Tidak ketinggalan juga, aku cuba lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan kata-kata manis dari orang luar.







Itu merupakan sedikit sebanyak apa yang telahpun saya tuliskan di kertas jawapan tadi. Walaupun pada pendapat saya sendiri, cerita di atas tidak begitu menarik dan ceritanya juga biasa didengari, namun itu sahaja yang dapat saya fikirkan pada ketika itu.

Esok pula, saya akan dibawa oleh saudara perempuan saya ke USS. Ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki masuk ke situ. Tidak sabar-sabar rasanya untuk menunggu hari esok tiba. Semoga keseronokkan yang akan saya perolehi esok sedikit sebanyak dapat menggembirakan hati ini. Sampai disini sahaja.

Wassalam

Sunday 2 June 2013

Hatiku tidak tentu arah

Assalamu'alaikum

Alhamdulillah hari ini dan semalam telahpun saya tempuhi dengan tenang.. Tidak ada gunanya mengenangkan orang yang telahpun melupakan kita ia tidak? Semalam, datang ke Muhammadiyah dengan pembelian 3 batang bunga ros plastik rekaan warga2 emas yang berbeza warna (putih, merah jambu gelap dan merah jambu terang) sedikit sebanyak mengubati sedikit kesedihan di hati.. Hari ini pula, kehadiran atok di rumah, menenangkan jiwa yang bergelora sampai saya terlena dibuai mimpi yang entahkan indah ataupun tidak.

Keesokan hari pulak saya akan menduduki peperiksaan Peringkat O Bahasa Melayu. Saat ini,hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya. Gementar, Gemuruh semuanya ada. Manakan tidak, peperiksaan yang akan menentukan masa hadapan saya akan saya tempuhi esok. Walaupun hanya Bahasa Melayu.

Ditambah lagi dengan perasaan sayu, mengenangkan kata-kata atuk tadi sebelum pulang,

"**********, hari sabtu datang2lah.."

Ya Allah, sungguh sayu hatiku ketika itu. Baru sahaja saya terfikir ingin menjauhkan diri dari ahli keluarga dan rakan2 yang selama ini sedikit sebanyak menyakitkan hatiku sampailah saya menamatkan kesemua peperiksaan Peringkat O saya, namun dengan kata2 atuk itu, saya seperti baru tersedar akan kekhilafan sendiri. Atuk tidak pernah melakukan kesilapan. Kenapa pula saya tergamak ingin mengabaikan atuk? Lagi2 apabila atuk seperti kelihatan sedih mengingatkan arwah nenek. Tinggal atuk sahaja yang saya tinggal saat dan ketika ini selain dari mama dan baba saya. Ketiga2 orang yang saya sayangi telahpun dijemput Ilahi.Ya Allah ampunkan daku.. Astaghfirullah.. Insya Allah, jikalau diberi kesempatan dan masa, ********* akan sesekali datang menziarahi atuk.. Tidak terlintas di benak dan fikiranku untuk melepaskan tanggungjawabku yang satu itu.

Sampai disini sahajalah buat masa ini. Jikalau diberikan lain kesempatan, akan saya update blog saya yang tidak seberapa ini. :)

Wassalam


Friday 31 May 2013

Kasih sayang yang terkubur.

Assalamu'alaikum..

 Post yang pertama dari saya, merupakan kisah yang terjadi pada hari yang sebelumnya. Kisah yang menyedihkan bagi saya. Manakan tidak.. Saya bukan hanya hilang seorang kawan, malah saya juga kehilangan seorang yang paling saya sayangi. Tidak pernah lagi seorang jejaka yang boleh saya anggap sebagai kawan, abang dan seseorang yang istimewa di hati saya.

Tetapi apakan daya.. Dalam jangka masa setahun persahabatan kami.. Terlalu banyak dugaan yang menimpa kami.. Saya dan dia bukan tidak pernah cuba mempertahankan persahabatan ini.. tetapi hati yang terluka tidak mampu difahami oleh sesiapa.

Perkenalan kami setahun lalu tidak dapat saya lupakan sama sekali. Perkenalan saya dengan seorang jejaka yang sangat soleh pada pandangan mata kasar saya. Selama setahun ini banyak yang saya pelajari dari dia. Diri saya sendiri banyak yang berubah kearah kebaikkan. Malangnya, persahabatan yang terjalan tekubur begitu sahaja semalamnya. Hati mana yang tidak sedih, kehilangan seseorang yang paling disayangi. Namun saya akur dan pasrah.. ini kehendak Allah. Mungkin inilah caranya Allah ingin memisahkan kami berdua. Mungkin saya tidak cukup baik untuk dirinya yang terlalu baik. Yang hanya mampu saya lakukan ialah berdoa untuk kebahagiaannya dunia dan akhirat insya Allah.

Setahun yang lalu, pada tarikh dimana saya kehilangan arwah nenek yang paling saya sayangi, dia bertemu dengan saya di majlis tahlil arwah. Tetapi apa yang pernah dia katakan, dia tidak begitu cam akan rupa saya pada ketika itu. Almaklumlah, terlalu ramai orang. Apa lagi saya! Yang hadir kesemuanya berjubah putih berserban dan bersongkok.

Beberapa hari selepas itu, si dia menegur saya di MukaBuku menanyakan hubungan saya dengan isteri gurunya. Perbualan kami hanya berhenti setakat itu dan selepas itu si dia "add as friend" saya di MukaBuku. Beberapa bulan berlalu pada hujung bulan August, kami kembali berkenalan dan sejurus itu terus menjadi rapat. Mulai dari saat itulah saya mulai kenal hati budi si dia. Seorang yang sangat manja dan sangat memahami.

Kami akui menyayangi antara satu sama lain kerana Allah. Tetapi tidak ada unsur "BGR" disitu kerana kami tahu akan hukum hakam Allah. Takut dengan hukuman Allah. Biarlah Allah sahaja yang menentukan siapa jodoh yang terbaik untuk kami.

Tetapi melihat keadaan kami sekarang bagai dua orang asing yang saling tidak mengenali kerana buah mulut orang yang pernah kami percayai, fitnah yang ditimbulkan.. Kami terpaksa membawa haluan masing2.. Dalam sejarah persahabatan kami, dia "unfriend" saya di MukaBuku. Saya mungkin tahu apa sebabnya dia lalukan sebegitu tetapi saya tidak boleh menuduh melulu. Jadi mengetahui hal itu, saya telahpun membuat keputusan untuk menyanyakan sendiri kepada si dia. namun tiada balasan. Saya tahu sekarang dimana tempat saya berdiri. Mungkin ini kiriman ringkas saya kepada dia yang terakhir. Mengharapkan agar dia mengampunkan segala kekhilafan saya selama kami menjadi sahabat dan sudah tentu, saya mendoakan kebahagiannya dunia dan akhirat. Insya Allah..

Wassalam